Nuffnang ads

Friday, November 19, 2010

Bila pesakit tidak dilindungi insurans


KOS rawatan penyakit kronik dapat dikurangkan jika pesakit membeli polisi insurans khusus untuk tujuan itu.



POLISI insurans kesihatan bukan untuk dibeli oleh individu yang sedang menghidap penyakit kritikal seperti sakit jantung dan strok.
Sebaliknya hanya orang yang sihat boleh mengambilnya dengan andaian mereka mungkin mendapat penyakit itu pada masa akan datang.
“Kos rawatan untuk penyakit kritikal adalah tinggi. Jika tiba-tiba seseorang itu disahkan menghidapnya, polisi insurans kesihatan yang ada boleh membantu mengurangkan beban kewangan pesakit,” kata ejen insurans American International Assurance Berhad (AIA), Anis Nuriman.
Bagaimanapun, perlindungan perubatan tidak diberikan kepada mereka yang disahkan menghidap penyakit kritikal sebelum satu-satu polisi insurans kesihatan itu dibeli.
Hakikat ini diakui kebanyakan syarikat insurans.
“Pelanggan tidak dihalang sepenuhnya daripada membeli polisi insurans perubatan. Namun, polisi yang ditawarkan untuk pesakit kronik itu melibatkan bayaran premium yang tinggi.
“Ia sudah tentu membebankan pelanggan sedangkan polisi itu tetap tidak meliputi perlindungan terhadap penyakit kritikal yang sedia dihidapi.
“Jadi pada kebanyakan masa, pesakit kanser atau kencing manis tidak membeli polisi itu,” dedah Anis.
Ejen insurans Prudential BSN Takaful Berhad, Rosli Ahmad, pula menambah penghidap penyakit kritikal hanya dapat ditawarkan polisi insurans hayat atau kemalangan.
“Jika mereka mahu membeli insurans perubatan juga, polisi yang ditawarkan akan mengecualikan penyakit kritikal sedia ada atau penyakit kritikal lain yang terjadi disebabkan penyakit kritikal tadi.

MEREKA yang mempunyai ukur lilit paha 60 sentimeter ke atas kurang berisiko mendapat penyakit.



Kanser
“Memang malang bagi mereka kerana tidak dilindungi insurans untuk penyakit yang dihidapi tetapi itulah konsep insurans kesihatan,” ujarnya.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Kanser Payu Dara (BCWA) Malaysia, Ranjit Kaur, merasakan amalan polisi insurans tersebut satu diskriminasi.
“Kami (pesakit kanser) masih hidup dan sepatutnya boleh membelinya. Malah, ramai penghidap kanser lebih sihat berbanding mereka yang tidak menghidap penyakit kritikal.
“Keadaan ini tidak wajar berlaku. Perlindungan insurans kesihatan harus diberikan kepada mereka yang memerlukan,” tegas Ranjit.
Merujuk statistik kanser di Malaysia, kata Ranjit, setiap seorang daripada empat orang berkemungkinan diserang kanser setiap tahun.
“Adakah mereka mengatakan tidak kepada 25 peratus rakyat Malaysia hanya kerana kami ada kanser?” tanya Ranjit.
Tambah beliau, faktor itu jugalah yang membuatkan penghidap kanser berasa amat takut sebaik sahaja disahkan menghidap penyakit itu.
“Sudahlah kami terpaksa berdepan dengan penyakit kritikal, kami juga mesti memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi menanggung kos perubatan,” bidas Ranjit yang menyifatkan itulah salah satu punca pesakit kanser payu dara gagal diselamatkan.

SESETENGAH syarikat insurans mewajibkan pemegang polisi



Menurut Ranjit, ada juga antara penghidap kanser payu dara yang ditamatkan polisi insuransnya setelah disahkan menghidap penyakit itu.
“Selepas membayar kos perubatan pertama untuk kanser yang dihidapi, syarikat insurans tersebut bertindak menamatkan polisi yang selama ini dibayar wanita tersebut.
“Macam mana boleh jadi begini? Jika benar wanita itu tersalah membeli polisi, sepatutnya dia didedahkan tentang polisi yang tepat untuk keperluannya,” ujar Ranjit.
Keadaan berbeza adalah di Washington, Amerika Syarikat. Sebuah pelan insurans untuk penghidap penyakit kritikal sedia ada sudah diwujudkan oleh kerajaan negeri sejak Mac 2010.
Tujuannya ialah untuk memberi peluang kepada penghidap penyakit kritikal mendapatkan perlindungan kesihatan sekurang-kurangnya sehingga tahun 2014 iaitu sebelum sektor kesihatan tempatan diubah sepenuhnya.
Tindakan itu dilihat sebagai satu perubahan yang baik untuk sektor kesihatan dalam usaha mengurangkan bilangan rakyat Amerika yang sakit.


Pendapat Xana: Sebagai pemegang insurans pendidikan dan kesihatan, saya merasakan terdapat kekeliruan dalam polisi insurans terutama bagi polisi insurans kesihatan dan life insurance. Setiap kali ada agen insurans yang datang kepada saya, saya mesti bertanyakan sama ada ketika bersalin dan kemudian mati ataupun didiagnos dengan penyakit kritikal adakah mereka cover masalah tersebut? Nama pun dah insurans kesihatan atau kebanyakan life insurance kan dan syarikat insurans pun berniaga kan?  Dah tentu jawab mereka tidak sebab tak untung la macam tu kan baru bayar premium sebulan dua dah nak kena cover rawatan yang ribu-riban tu. Saya rasa bagi bakal-bakal pembeli insurans seelok-eloknya tanyalah dulu tentang polisi yang anda perlu sahaja. Kita ada hak untuk menolak mana-mana polisi yang tidak diperlukan.
Walaupun agen tu serba tahu, tapi kita sebagai pengguna lebih tahu keperluan kita.

PS: Korang ada tak yang tak puas hati dengan polisi insurans korang?

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...